PIERS tingkat teknik mengajar

Attention: open in a new window. PDFPrintE-mail

Kerajaan Negeri Sembilan, CfBT pastikan sistem pendidikan, pembelajaran di sekolah lebih difahami pelajar, sempurna.

PIERS Picture
BERGAMBAR KENANGAN: Peserta bergambar selepas menerima
sijil Piers.

Oleh Ahmad Syahrul Derauh
SEREMBAN: Tugas guru tidak terhad sekadar mengajar di kelas, sebaliknya membimbing anak murid menjadi generasi berjaya pada masa depan bagi memenuhi keperluan negara melahirkan rakyat bijak pandai.

Mempunyai diploma dan sijil dalam bidang perguruan juga bukan bermakna seseorang guru sudah cukup sempurna untuk mencurahkan ilmu kepada anak murid di kelas.

Sebaliknya, guru perlu memastikan kemampuan pengajaran mereka dan penerimaan murid terhadap ilmu yang dicurahkan, dapat difahami dengan jelas tanpa wujud kesangsian atau ibarat `melepas batuk di tangga'.

Menyedari hakikat itu, Kerajaan Negeri Sembilan dengan kerjasama Centre for British Teacher (CfBT) Education Trust mengambil langkah segera untuk memastikan sistem pendidikan yang diajar guru sekolah lebih berkesan.

Ia dilaksanakan melalui Pogram Peningkatan Bahasa Inggeris Di Sekolah Rendah Luar Bandar (Piers) yang julung kali diadakan di negara ini untuk meningkatkan teknik mengajar, penguasaan bahasa Inggeris dan kemahiran teknologi maklumat (IT).

Program yang mensasarkan guru sekolah rendah berlangsung selama sembilan bulan mulai Januari lalu, disertai 44 guru dari 11 sekolah rendah sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Ia membabitkan aktiviti kemahiran mengajar supaya dapat menarik perhatian murid serta meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru.

Kumpulan guru terbabit menerima sijil penyertaan mereka pada majlis di Kelab Di-Raja Sungai Ujong, di sini, baru-baru ini yang disempurnakan Pengarah Pelajaran Negeri Sembilan, A Hamid Abu Hassan.

Pengarah CfTB Asia Tenggara, Arif Bell Abdullah, berkata program yang menggunakan pendekatan United Kingdom itu bertujuan memastikan pengajaran guru tidak terkongkong dengan kaedah lama.

"Proses pengajaran perlu diseragamkan dengan perkembangan teknologi dunia masa kini yang lebih global dan tidak hanya tertumpu di dalam kelas semata-mata, sebaliknya mengambil kira keadaan semasa yang lebih kepada aspek teknologi.

"Program ini bertumpu kepada penguasaan bahasa Inggeris, bukan bermaksud mengetepikan bahasa kebangsaan, tetapi disebabkan zaman teknologi kini banyak menggunakan bahasa Inggeris sebagai perantara," katanya.

Katanya, tentu sukar untuk menguasai kemahiran teknologi maklumat (IT), sedangkan semua bahan dan peralatan dalam bidang itu menggunakan bahasa antarabangsa.

Beliau berkata, program 320 jam untuk guru dan 20 jam untuk pengetua dan guru penolong kanan itu mengandungi pelbagai segmen peningkatan, termasuk beberapa ujian bagi menilai tahap pencapaian guru.

"Pada tiga bulan pertama, guru diajar cara mengajar paling berkesan sebelum mereka menggunakan teknik itu di kelas dengan alat bantuan mengajar sambil diperhatikan pemudah cara CfBT.

"Selepas itu, pemudah cara akan memberi komen terhadap cara pengajaran mereka sebelum membuat pembetulan dan peningkatan terhadap caranya," katanya.

Ariff berkata, keputusan ujian selepas program itu amat membanggakan apabila teknik pembelajaran meningkat sebanyak 51 peratus sementara penguasaan bahasa Inggeris meningkat 16 peratus.

"Ujian pencapaian mata pelajaran Matematik membabitkan 7,000 murid juga meningkat 8.15 peratus, menunjukkan program ini memberi faedah kepada kedua-dua pihak," katanya, yang berpengalaman mengajar di negara ini sejak 1973.

Katanya, kejayaan program itu memberi alasan kukuh untuknya diperluaskan ke daerah Port Dickson dan Seri Menanti, Kuala Pilah serta Sabah, manakala Singapura, Thailand dan Brunei menyatakan hasrat mengadakan program serupa.

Peserta program, Mohd Iezwan Abd Malik, 25, program itu baik kerana tugas seorang guru bukan sekadar mengajar, sebaliknya memastikan apa diajar mampu menarik minat pelajar, terutama subjek Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris.

"Bagaimana mahu mendidik anak murid kalau guru sendiri lemah dalam bahasa Inggeris dan tidak boleh menguasai bahasa itu dengan baik," kata guru Sains, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jimah Baru, Rantau itu.

Guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa, Rantau, Yong Huei Bing, 26, berkata penyertaannya dalam program itu memberi kesedaran bahawa masih banyak kelemahan pada cara pengajarannya.

"Selepas menyertai program ini, baru kita sedar banyak lagi perlu kita tingkatkan," katanya, yang bertugas sebagai guru sejak empat tahun lalu.

Seorang lagi peserta, S Rathy, 28, berpendapat program berkenaan perlu diperluaskan ke seluruh negara kerana pelaksanaannya di DUN Rantau sebagai projek perintis, sudah terbukti berkesan.

Sementara itu A Hamid memuji pencapaian program berkenaan yang dianggap melebihi matlamat yang ditetapkan dan percaya ia boleh meningkatkan lagi sistem pendidikan di negara ini.

FAKTA: Program Peningkatan Bahasa Inggeris Di Sekolah Rendah Luar Bandar
  • Projek perintis kerjasama kerajaan Negeri Sembilan dan CfBT Education Trust
  • Dijalankan Januari hingga September 2006
  • Latihan 320 jam untuk guru biasa dan 20 jam untuk pengetua dan penolong kanan.
  • Disertai 44 guru dari DUN Rantau, 11 sekolah dan 7,000 murid

  • By Fain Wahab